Breaking

Thursday, February 10, 2011

Terkini | Najib 'tabik' semua yang menjayakan Ops Piramid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak melahirkan penghargaan dan "tabik" kepada semua pihak yang terlbabit membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir untuk pulang dengan selamat ke tanah air.


"Secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap seorang yang terlibat, tidak kira latar belakang etnik mereka, dalam menjayakan Ops Piramid. Terima kasih," kata Perdana Menteri dalam blog beliau www.1malaysia.com hari ini.

Beliau menyifatkan usaha dalam "Ops Piramid" sebagai lambang semangat 1Malaysia.
"Ops Piramid tidak akan mencapai kejayaan besar tanpa semangat 1Malaysia. Semangat inilah yang menyatukan semua pihak - daripada individu sehingga ke pertubuhan besar - dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita, rakan-rakan dan anggota keluarga dalam menempuh saat getir sebegini.

"Tanpa mengira etnik, umur atau pegangan agama, semua pihak yang terbabit telah berusaha sedaya upaya untuk menolong rakyat Malaysia yang lain. Saya tahu ramai daripada anda sanggup korbankan waktu tidur bagi memastikan proses evakuasi ini berjalan lancar. Saya tabik kepada kegigihan dan kesabaran anda," katanya.

Ops Piramid adalah satu misi tajaan kerajaan Malaysia untuk membawa keluar rakyat dan pelajar negara ini yang terperangkap di Mesir ke Jeddah sebelum ke Malaysia berikutan pergolakan di Mesir.

Kumpulan pertama dibawa pulang ke tanah air pada Isnin lalu. Sehingga semalam, seramai 7,209 orang telah dibawa ke Jeddah manakala 1,439 telah kembali ke tanah air.
Mengimbas mengenai keputusannya untuk membawa pulang rakyat Malaysia itu, Najib berkata oleh kerana terdapat ramai warga negara ini di Mesir, kerajaan telah meneliti situasi dan menyediakan satu pelan tindakan untuk membawa mereka keluar dari Mesir.

Beliau berkata, setelah universiti di Mesir ditutup dan bantahan rakyat semakin memuncak, pelajar terpaksa berkurung di kediaman masing-masing manakala bekalan makanan pula berkurangan dan komunikasi dengan dunia luar disekat.

"Saya dapat bayangkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa mereka ketika itu. Jadi, kita rasa amat lega dapat menyambut kepulangan lebih 700 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan beberapa penerbangan sewa khas," katanya. - BERNAMA

Adbox